Buat teman-teman yang saya kasihi dan sayangi, hari ini saya belajar satu perkara yang mungkin anda semua pun turut pernah melaluinya. Sebagai manusia biasa, kita pasti akan cepat melatah bila berlaku sesuatu yang diluar jangkaan kita. Contoh yang paling mudah, setelah penat lelah kita melakukan sesuatu, menghormati orang lain, menyayangi mereka seadanya, berkongsi ilmu selagi mampu dan menerima mereka sepertimana kita menerima insan lain, tapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Niat hati yang ikhlas dipandang serong dan yang paling mengecewakan ialah apabila kita dikatakan berpura-pura dan mempunyai niat yang tidak baik disebaliknya.
Semua yang terjadi ini adalah lumrah sebagai seorang insan biasa dalam menempuh kehidupan di dunia ALLAH S.W.T. Kita adalah hamba-NYA yang hanya memiliki iman senipis kulit bawang. Walaupun begitu, secepatnya kita mengingatkan diri, beristighfarlah dan jangan dibiarkan diri ini terus termakan dengan hasutan syaitan. Berzikir pada-NYA agar ditutup segenap ruangan daripada syaitan menyelitkan kata-kata nista yang bisa membinasakan hati dan iman kita pada-NYA.
Dan ingatlah, setiap yang buruk kita lihat itu tidak semestinya tidak berfaedah buat kita. Malah kadang-kadang perkara yang disangka buruk, busuk dan hodoh itulah nikmat yang terhebat ALLAH anugerahkan untuk kita menambahkan tahap iman kita pada-NYA. Maka itu bukanlah sesuatu yang merugikan jika dipikirkan utk kepentingan saham akhirat kita kelak.
Dan ingatlah setiap yang baik kita lihat tidak semestinya memberi manfaat buat kita. Malah kadang-kadang yang disangka baik, wangi dan cantik itulah pemusnah iman kita kepada ALLAH. Maka tidak ada kerugian buat kita jika kehilangan benda yang baik itu untuk meningkatkan lagi tahap iman kita pada Yang Maha Esa.
Yakinlah bahawa, ALLAH itu Maha Adil (Al-'Adl) dan Maha Bijaksana (Al-Hakim) kerna setiap yang terjadi itu adalah yang terbaik dari ALLAH buat hamba-NYA.
Terdapat satu kisah sebagai perkongsian buat teman-teman semua.
Aliyah merupakan seorang muslimah yang terkenal dengan peramahnya. Dia seorang yang berani untuk berkata-kata dan mengeluarkan pandangannya, asalkan ia tahu setiap yang dikeluarkannya itu ada benar dan sahihnya. Ini bukan bermakna dia seorang yang sukar untuk menerima pendapat atau pandangan orang lain. Walaupun begitu Aliyah tahu bukan semua orang disekeliling menyukai kehadirannya, dia sedar akan perkara itu. Sehinggakan berlaku satu kisah yang tidak akan Aliyah lupa, yakni terdapat seorang sahabat yang dia kenal Maria telah meluahkan rasa tidak puas hati kepadanya. Ini adalah gara-gara kerna kepetahan Aliyah berkata-kata sehingga sahabatnya itu tidak boleh menerimanya. Aliyah sedar akan kesalahannya kerna bukan semua insan boleh menerima setiap tutur kata dan pandangan yang dikeluarkan orang lain. Tapi Aliyah tidak pernah menyangka walaupun setelah memohon maaf, Maria masih lagi menyimpan perasaan sakit hati dan kecewa kepadanya. Perkara ini bertambah rumit apabila Aliyah mengeluarkan pendapatnya berkaitan suatu perkara yang diutarakan oleh Maria. Bagi Aliyah, bukan satu kesalahan untuk mengutarakan pendapat yang sememangnya sahih, malah tiada yang betul atau salah dalam sebarang pendapat tersebut. Berikutan hal tersebut Maria mengungkit kembali setiap perkara yang telah Aliyah lakukan padanya. Sehinggakan ada perkara yang Maria ceritakan tidak masuk akal oleh Aliyah. Antaranya mengatakan bahawa Aliyah seorang yang berpura-pura, berlakon, bersandiwara untuk meraih kasih dan perhatian orang lain. Aliyah turut dituduh ingin merampas kuasa yang ada pada Maria dan cuba untuk memalukannya di hadapan orang lain serta menggangu kehidupan keluarganya. Perkara ini telah membuat Aliyah begitu sedih, kecewa dan marah kerna dituduh melulu tanpa usul periksa. Segala penjelasan dari Aliyah tidak lagi didengar Maria kerna baginya, Aliyah hanya berpura-pura. Dalam hal ini, Aliyah banyak beristighfar dalam dirinya, berzikir dan terus berzikir memohon ke hadrat Illahi agar diberi ketenangan dan kesabaran dalam mengharungi dugaan di dunia ciptaan ALLAH ini. Sambil itu, Maria terus mengeluarkan segala perkara yang tidak puas hatinya kepada Aliyah. Tiada apa yang mampu Aliyah mampu lakukan, hanyalah berzikir dan beristighfar kepada Yang Maha Esa memohon ketenangan jiwa. Aliyah tidak akan membazir air liurnya semata-mata untuk memberi penjelasan kepada Maria yang sudah semestinya tidak mahu mendengar. Aliyah hanya mampu berdoa agar ALLAH memberi petunjuk yang terbaik kepada Maria.
Semoga kisah ini akan memberi pedoman kepada kita semua. Yakinlah dan berprasangka BAIKlah pada ALLAH maka ALLAH akan berprasangka BAIK padamu. Sesungguhnya ALLAH itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Gambar untuk hari ini:
-Sekian-