Thursday, June 16, 2011

Lembayung Kasih Sayang Allah yg Abadi


Tidak ada satu ayat pun yang dusta dalam Al-Quran. Malah setiap ayat dalam ummul kitab adalah pedoman dan panduan terbaik untuk setiap insan. Yakinlah bahawa Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Allah sentiasa mengampunkan dosa-dosa hamba-Nya kerna Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengetahui. Pernah Rasulullah s.a.w menceritakan sebuah  kisah kepada para sahabat tentang seorang lelaki yang telah memberi minum seekor anjing, dan Allah telah mengampunkan dosanya dan dimasukkan ke dalam syurga. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan menerusi Abu Hurairah r.a:

“Ketika mana seorang lelaki sedang berjalan di sebatang jalan dan menghadapi dahaga yang amat sangat, beliau menemui sebuah telaga, lalu turun dan meminum air kemudian keluar. Tiba-tiba beliau mendapati seekor anjing sedang terjelir-jelir dan memakan tanah kerana terlalu dahaga. Lelaki itu menyatakan: Anjing ini begitu dahaga sekali sehingga mencapai ke tahap ini (memakan tanah) seperti juga dahaga yang aku alami. Beliau turun semula ke dalam telaga, lalu memenuhkan khuf (kasut kalis air) dengan air, kemudian memegang dengan mulutnya lalu memberi minum kepada anjing tadi. Allah s.w.t berterima kasih kepadanya dan mengampunkan dosanya. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah adakah apabila kita berbuat baik kepada binatang, kita akan mendapat pahala?. Sabda baginda: Ya, berbuat baik kepada setiap sesuatu yang mempunyai jantung berdenyut itu, mendapat pahala.”

Berdasarkan kepada hadis tersebut, dapat kita simpulkan bahawa, Allah tidak memilih kasih kepada sesiapa pun asalkan individu itu tidak belaku syirik dan menyekutukan Allah. Dan sesungguhnya, selagi masih berdenyutnya nadi di muka bumi Allah ini, selagi itu pintu taubat buat kita masih terbuka. Mari sama-sama kita berdoa ke hadrat Illahi agar sentiasa berada di bawah keberkatan dan lembayung kasih sayang Allah s.w.t. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...